Jeruk Pak Ali Bakal Ke Pasaran Mekah

| May 22, 2013 | 0 Comments

Pernahkah anda rasa jeruk Pak Ali sama ada ke Pulau Mutiara mahupun mendapatkannya daripada kiosk-kisok di pasaraya?  Penulis sendiri pernah membeli dan merasainya.  Memang kita tidak akan berasa was-was untuk memakannya jika dibandingkan dengan jeruk-jeruk lain yang ada di pasaran.  Ini kerana jeruk Pak Ali ini seratus peratus buatan orang Islam, dapat dimakan terus tanpa ragu-ragu lagi.

jeruk_pak_ali

Logo Jeruk Pak Ali

jeruk_pak_ali1

Jeruk yang sedang dimasak

Pak Ali Food Industries Sdn Bhd menyasar untuk mengembangkan pasaran jeruk keluarannya ke Mekah, Arab Saudi menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Urusannya Alias Ali berkata syarikat kini dalam proses perbincangan dengan Felda untuk memasarkan jeruk keluarannya di Felda D’Saji Mekah bagi memenuhi keperluan masyarakat Malaysia dan jemaah luar yang mengerjakan haji dan umrah.

Beliau berkata tahun lepas jeruk keluaran syarikat berjaya menembusi pasaran Ireland dengan penghantaran 1,500 kilogram.

jeruk_pak_ali2

Pak Ali ketika membayar wang zakat perniagaannya

“Jeruk Pak Ali memang mendapat permintaan yang tinggi dari negara luar antaranya Korea Selatan dan China. Kebanyakan mereka menggemari jeruk Pak Ali.

“Setakat ini sambutan di Ireland sangat menggalakkan dan kita sudah membuat tiga kali penghantaran ke Ireland dengan sekali penghantaran sebanyak 500 kilogram,” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Hashim Abdullah di Agrobazaar K-Shoppe Jeruk Madu Pak Ali, dekat sini hari ini.

Alias berkata selain Mekah, syarikat juga merancang untuk mengembangkan produknya ke Eropah.  Bagaimanapun, beliau berkata syarikat berhasrat untuk menumpukan permintaan dalam negara.

“Ketika ini kami mempunyai 80 outlet di seluruh negara. Kita mahu kembangkan lagi pasaran dalam negara. Kami juga bercadang untuk membuka kilang pemprosesan jeruk di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hashim berkata kementerian bersedia membantu Pak Ali Food Industries Sdn Bhd untuk memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

“Dari segi pengedaran, produk Pak Ali boleh dikatakan telah ke seluruh negara dan produk Pak Ali dapat menembusi pasaran hypermarket. Kementerian akan membantu bersama-sama Fama dan Agrobank dalam meningkatkan lagi pengeluaran dan pemasaran jeruk Pak Ali.

“Apabila kita buat promosi di luar negara, kita akan membawa produk yang dihasilkan oleh syarikat Pak Ali,” katanya.

Sumber  :  Sinar Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Category: Isu Semasa

About the Author ()

“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

Leave a Reply