Apakah Amalan Yang Membantu Manusia Di Alam Kubur?

| February 28, 2013 | 0 Comments
alam_kubur
Setiap manusia pasti akan merasai mati
Setiap manusia di dunia ini akan mengalami kematian. Apabila datangnya kematian bagi seorang manusia, ianya tidak boleh ditangguhkan lagi walaupun sesaat. Oleh itu sebelum kematian datang, kita perlulah membuat persiapan dengan melaksanakan amal-amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah dan membuat sebanyak mungkin kerja-kerja kebajikan yang akan mendatangkan keredhaan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan Allah SWT yang boleh mendatangkan dosa.
Siapakah teman setia kita di alam kubur nanti?  Teman yang setia yang akan mengiringi seseorang apabila ia kembali ke alam barzakh adalah segala amalan-amalan kebaikan dan kejahatan yang dikerjakan ketika berada di dunia. Alam barzakh adalah alam persingahan sementara sebelum berlakunya hari Kiamat dan seterusnya menuju ke alam akhirat.
Oleh yang demikian, samada seseorang itu tinggal di alam kubur seperti duduknya dia di taman-taman syurga atau pun tinggal di salah satu lubang dari lubang-lubang api neraka, segalanya bergantung dengan amalan mereka ketika di dunia.
Mereka yang berdosa akan mendapat siksaan iaitu siksa kubur sebelum siksaan sebenar yang akan diterima semasa di hari akhirat nanti.

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

 ”Apabila mati seseorang manusia itu, akan terputus daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara  iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, masih terdapat lagi tiga peluang bagi seseorang yang telah meninggal dunia untuk dia mendapat tambahan pahala yang berterusan membantunya sebagai saham akhirat yang akan membantunya ketika proses timbangan amal dijalankan nanti atau untuk mengurangkan azab siksaan kubur yang diterimanya.  Tiga perkara tersebut adalah sedekah jariah, ilmu yang dimanfatkan dan anak soleh yang mendoakannya.

Sedekah Jariah
Amalan bersedekah ini amatlah dituntut dalam Islam.  Bersedekah ini termasuklah mewakafkan tanah dan membina rumah anak-anak yatim dan miskin, masjid, sekolah agama dan tahfiz,  hospital, rumah kebajikan, pusat pemulihan dadah dan akhlak, menghadiahkan Al-Quran dan kitab-kitab agama untuk digunakan oleh orang lain.

tahfiz

Gambar sekadar hiasan

Ilmu Yang Dimanfaatkan
Dengan ilmu yang kita ada, diajarkan pula  ilmu tersebut kepada orang lain.  Memanfaatkan ilmu ini  termasuklah juga menulis buku, risalah dan menyebarkan ilmu melalui video, internet dan lain-lain teknologi yang ada pada hari ini.  Semuanya akan beroleh pahala dengan membuat penyebaran ilmu yang berguna kepada orang lain.

Nabi Muhammad SAW  bersabda yang bermaksud : “Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Riwayat al-Bukhari).


Doa Anak Yang Soleh

Anak yang soleh sebenarnya lahir daripada didikan ibu bapanya semasa hidup di dunia. Ibu bapa menghantar ke sekolah diberinya didikan agama, diajarkannya iman dan akhlak yang mulia.  Segala pengorbanan ibu bapa membesarkannya dari aspek fizikal, pemikiran, emosi dan kerohanian. Ibu bapa telah menyediakan segala-galanya untuk membentuk anaknya menjadi anak yang soleh.

Oleh yang demikian, bagi membalas jasa baik ibu bapa yang telah meninggal dunia anak yang soleh sentiasa mendoakan mereka dengan kata-kata  :   “Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi diriku sewaktu aku kecil dahulu.

anak_solehGambar sekadar hiasan sahaja

Kesimpulannya, sebagai persiapan untuk bekalan kita bertemu Maha Pencipta, maka perlulah dipertingkatkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan dan meninggalkan segala bentuk kejahatan yang membawa kepada dosa.  Kita sediakan dua bekalan iaitu bekalan yang kita akan bawa bersama-sama ketika kematian dan amal kebaikan kita tinggalkan di dunia tetapi sahamnya dapat kita perolehi di saat berada di alam barzakh.

Para ulama’ ada mengatakan bahawa dunia ini adalah tempat untuk manusia beramal tetapi tiada balasan manakala akhirat pula merupakan tempat balasan dan tiada amalan.  Renung-renungkan sejenak…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Category: Agama

About the Author ()

“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

Leave a Reply